Khamis, 31 Mac 2011

Pak Atan dan Si Tenang -Kabar


Oleh : Abu Ziyad

Masih ingatkah kita kisah Pak Atan dengan Si Tenang  anak dugong? Kisah itu berlaku kira-kira 11 tahun yang lalu. Nama Pak Atan dan keluarganya menjadi popular di negara ini apabila kisah lelaki itu dan dugong peliharaan kesayangannya menghiasi dada akhbar hampir setiap hari. Pak Atan menjaga anak dugong itu dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri biarpun berasa amat sedih apabila pihak berkuasa mengarahkan supaya mamalia itu dilepaskan semula ke laut.

Pada 11 Mac 1999, kisah itu menjadi lebih gempar apabila dugong yang dipanggil Si Tenang itu dijumpai mati terapung di Selat Tebrau selepas hanya 41 jam dilepaskan Pak Atan.  Bangkai mamalia itu ditemui oleh seorang nelayan yang sedang menjala udang tidak jauh dari tempat ia dilepaskannya.
Menyelak memori, Pak Atan dan anaknya, Roslan, 35, menemui anak dugong itu setelah ia terperangkap dalam jaring udang berhampiran kelong mereka kira-kira 100 meter dari Kampung Pasir Putih pada 25 Februari tahun yang sama.

Ketika ditemui, Si Tenang mengalami luka di bahagian mulut dan juga ekor, mungkin kerana terlanggar teritip semasa mencari makan. Sejak penemuan anak dugong itu dilaporkan, pelbagai pihak termasuk Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Jabatan Perikanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib mamalia laut itu dan mahu ia dilepaskan semula.

Pak Atan dengan berat hati terpaksa melepaskan semula anak dugong itu setelah menerima arahan daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan Perhilitan. Namun kematian tragis dugong itu mengundang kesedihan sekali gus mencatatkan sejarah hitam kepada Pak Atan dan keluarganya, malah masyarakat turut berkongsi perasaan yang sama.Masing-masing berpendapat sekiranya Si Tenang terus dipelihara buat sementara waktu sehingga lukanya sembuh, ia mungkin terselamat daripada bahaya di laut.

Pak Atan seorang warga emas hanya tinggal di rumah rakit yang uzur dan daif di Kampung Pasir Puteh, Pasir gudang, Johor. Satu negeri dengan Dun Tenang salah satu tempat yang bakal menjadi terkenal dan rakyatnya bakal menerima rezeki yang melimpah ruah hasil dari rentetan Pilihanraya kecil yang akan diadakan 30 Januari 2011 akan datang.

Bukan kisah keistimewaan Si Tenang yang penulis ingin ceritakan, tetapi kisah Pilihanraya Kecil Dun Tenang yang berkait rapat dengan Pak Atan warga negeri Johor. Bukan sedikit rakyat Johor yang senasib dengan Pak Atan,  hidup cukup-cukup makan dan ada yang masih dibelenggu kedaifan hidup. Mungkinkah orang seperti Pak Atan ini sekadar mengeluh jika harga gula untuk membancuh kopi atau teh telah dinaikkan oleh kerajaan yang mereka pilih. Di dada-dada akhbar penuh dengan alasan, pujian dan sandiwara ke atas pemerintah yang Pak Atan pilih. Namun, tanpa disedari hidupnya semakin hari semakin sukar.

Nun di seberang Selat Tebrau, sebuah negara sedang menuju negara maju. Tanah sekitar yang Pak Atan duduki sekarang adalah sebuah Koridor yang begitu gah bunyinya. Rakyat di negara jiran khabarnya bakal dapat memilki sebahagian hartanah di sedikitar daerah Pak Atan tinggal. Namun, adakah Pak Atan cukup berbangga dengan hanya tinggal di atas rumah rakit di atas air? Atau Pak Atan sekadar mengeluh tetapi tidak mahu berubah dan tunggu masa untuk diubah? Tetapi yang pasti di dalam benak hati Pak Atan hanya di situlah  dunianya.

Masyarakat Johor terkenal dengan kesetiaan dan. komitmennya, andai berubah dia akan terus berubah dan akan setia dengan perubahannya. Adakah Pakatan Rakyat sedar akan faktor ini? Pak Atan memerlukan maklumat yang lebih luas dan terbuka. Dengan zaman globalisasi yang mudah mengakses maklumat golongan seperti Pak Atan sangat jauh ketinggalan. Mereka masih mengenang zaman dahulu kala. Mereka sangat mempercayai  Telivisyen, Radio dan akhbar arus perdana. Sedangkan dunia sudah berubah. Pemimpin yang beliau percayai dulu sudah tiada, pewarisnya sudah jauh berubah. Pak Atan tanpa dia sedari drinya sedang dan terus ditindas.

Akhirnya, penulis menasihati Pakatan Rakyat agar terus berusaha tanpa mengenal penat lelah menyedarkan Pak Atan dan kelompoknya untuk berubah menyokong dan mendokong perjuangan yang menguntungkan mereka dan generasinya. Adakah Pakatan Rakyat mampu untuk membawa inspirasi perubahan ke minda kawan-kawan Pak Atan di Dun Tenang? Sama-sama kita tunggu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan