Rabu, 25 Mei 2011

Di sebalik tabir Buku Jingga – oleh Muhammad Zir

Sejak merdeka, negara kita telah membangun dengan terbinanya banyak bangunan-bangunan baru, kampung-kampung dan bandar-bandar baru termasuk kilang-kilang yang besar. Ini kita anggap sebagai kerja-kerja mengisi ruang kemerdekaan yang telah kita kecapi. Semua yang kelihatan pada zahir ini, adalah benda fizikal yang tercipta dari perlaksanaan kata-kata iaitu dari janji-janji yang ditabur dalam pilihan raya yang lepas-lepas. Pencapaiannya tidak kita ragui sama sekali.
Semua ‘benda-benda fizikal’ ini dibina menerusi wujudnya institusi-institusi penting, iaitu institusi legislatif (perundangan), eksekutif (pelaksanaan) dan kehakiman. Ketiga-tiganya penting, ia merupakan tulang belakang kepada sistem pentadbiran negara. Namun, sistem ini telah dimanipulasi oleh pihak eksekutif dengan menggunakan institusi legislatif untuk kepentingan politik dan peribadi segelintir pemimpin negara. Sesuai dengan kata bidalan, sambil menyelam minum air.
Salah guna kuasa (dalam maksud lebih besar) berlaku hanya apabila golongan elit yang punya kuasa tanpa had atau gagal dihadkan oleh legislatif dan kehakiman. Hampir mustahil seorang yang berjawatan “biasa”, misalnya, sebagai Penolong Pegawai Tadbir atau Penghulu, mampu memanipulasi atau mengarah pihak legislatif untuk menipu demi kepentingan beliau atau kumpulannya. Dan, apa yang telah kita lihat akhir-akhir ini, pihak legislatif dan eksekutif telah bersekongkol memanipulasi sistem tanpa segan silu lagi. Maka inilah yang dimaksudkan dengan krisis, masalah budaya dan amanah yang songsang, telah merosakkan sistem pentadbiran kita.
Pakatan Rakyat berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk memulihkan sistem yang telah rosak ini. Dalam keghairahan kita berjuang, harus jangan kita lupa bahawa krisis ini terjadi secara anai-anai, bukan bermula sejak lima atau sepuluh tahun lalu, tetapi ia membarah sedikit demi sedikit dan penyakit ini disumbangkan oleh banyak pihak, khususnya elit pemerintah. Dan, untuk mengatasi dan memperbaikinya juga bukanlah usaha sepenggal atau dua penggal (merujuk kepada penggal pemerintahan kerajaan lima tahun), sebaliknya ia adalah usaha yang berterusan.
Kita tidak mahu krisis ini diwariskan kepada generasi akan datang. Kejahilan yang telah berlaku harus kita ubah dan tinggalkan. Kita berubah untuk memastikan hak warga dibela, keadilan dilaksana dan hasil kekayaan dikongsi dan diagih secara adil kepada masyarakat. Ini adalah tuntutan mutlak yang tidak akan berubah-ubah sepanjang zaman.
Rakyat Malaysia masih belum melupai keangkuhan, kealpaan dan kezaliman UMNO terhadap rakyat dalam banyak perkara. Diam tidak bererti rakyat lupa, sepertimana anggapan Tun Mahathir dalam sajaknya ‘Melayu Mudah Lupa’. Sebaliknya beliau sendiri yang lupa bahawa diam-diam rakyat Malaysia adalah disebabkan sifat kemaafan yang diwarisi sejak berkurun dahulu. Beliau juga lupa bahawa bila rakyat sudah jemu dengan salah guna kuasa UMNO dan BN, maka mereka pasti akan bertindak seperti mana pada pilihan raya 2008.
Jemu dan marah tak ke mana jika tidak dihalakan ke arah tuju yang tepat. Maka itu Pakatan Rakyat mengemukakan cadangan-cadangan asas untuk membawa perubahan yang benar-benar diperlukan rakyat.
BUKU JINGGA adalah jawapan konkrit Pakatan Rakyat untuk membawa rakyat dan negara kita ke arah satu tahap perubahan penting dalam sejarah negara semenjak merdeka. Inilah yang menjadi latar dan intipati BUKU JINGGA. Sampaikan dan kongsikan kefahaman kita kepada semua. Hanya dengan maklumat betul, maka rakyat akan mengetahui dan dengan pengetahuan ini jugalah maka perubahan akan berlaku.
Kerangka Asas
Pertama – demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat.
Kedua – memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk mem jana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.
Ketiga – keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh.
Keempat – Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Kempat-empat kerangka asas yang telah dinyatakan dalam BUKU JINGGA adalah bersandarkan kepada Perlembangaan Persekutuan yang mana ia menjadi tonggak perjuangan sah Pakatan Rakyat. Tanpa “kiblat” yang betul, pasti perjuangan ini akan menjadi sia-sia. Sebaliknya di pihak Barisan Nasional, mereka tidak akan mampu lagi memesongkan niat dan arah perjuangan kita. Maka, hanya dengan kefahaman dan keyakinan sahaja yang akan dapat membebaskan bangsa kita dari jalan kejahilan kepada jalan kebijaksanaan. Kebijaksanaan ini juga akan kita kongsikan bersama dengan rakyat.
Perlembagaan – Pakatan Rakyat berjanji kepada seluruh rakyat Malaysia, yang mana janji ini juga adalah sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan segala isi yang termaktub di dalamnya. Maka tidak timbul lagi isu-isu yang mempersoalkan komitmen Pakatan terhadap Bahasa, Institusi Raja Berperlembagaan, Kaum dan Agama, kerana semua ini (yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan) telah dijamin untuk terus dipelihara, noktah. Jika isu-isu ini terus dimainkan dengan provokasi-provokasi esktrem, nyatalah ia hanya pembohongan untuk menghakis keyakinan rakyat. Yakinlah bahawa perubahan tidak dapat dielakkan lagi.
Institusi – Inti kepada pendemokrasian sejagat yang menjadi perjuangan Pakatan Rakyat juga bertujuan untuk mengubah persepsi buruk masyarakat terhadap institusi-institusi yang dahulunya dihormati seperti Institusi Kehakiman, Polis, Pendidikan dan Perguruan serta Perkhidmatan Awam keseluruhannya. Institusi sepenting ini harus dirombak bagi memastikan ia berfungsi menurut peranannya. Dengan adanya institusi yang berwibawa, negara dan rakyat pasti mendapat manfaat yang besar. Pelabur-pelabur sudah tidak takut untuk berniaga dengan kita, masyarakat juga akan merasa terjamin baik peluang pekerjaan, perniagaan dan keselamatan pada batang tubuh mereka.
Perlembagaan dan Institusi yang luhur bukan hanya sekadar ungkapan bahasa dan kata-kata indah, sebaliknya ia adalah realiti yang harus dilaksana dan dinikmati oleh kita rakyat Malaysia.
BUKU JINGGA juga adalah manifestasi (penzahiran) muafakat antara DAP, PKR, PAS dan juga Rakyat sendiri. Dengan semangat dan sokongan rakyatlah maka Pakatan Rakyat akan terus memimpin dan memperjuangkan prinsip dan cita-cita yang terkandung didalam BUKU JINGGA.
Kita amat memahami bahawa perjuangan ini pastinya menuntut perubahan minda, pendekatan dan sistem. Tanpa perubahan pada perkara-perkara asas ini, usaha kita tidak akan tercapai. Seperti kata pepatah, perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. – Roketkini.com
Akan datang: Empat kerangka asas dan bagaimana mahu menterjemahkan pelaksanaannya

Isnin, 9 Mei 2011

Komplot Kristian: Apakah DAP sasarannya? Tidak...

Analisis Harakahdaily

Selepas kegagalan yang memalukan dalam agenda “1Melayu, 1Bumi”, media tradisional Umno, Utusan Malaysia dan barisan blogger mereka cuba sekali memainkan isu yang cukup sensitif dan berbahaya untuk kestabilan negara dengan menuduh bahawa para pemimpinDAP berkonspirasi dengan paderi Kristian bagi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan membolehkan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri.

Di atas permukaan, DAP dan agama Kristian dilihat sebagai sasaran sebenar Utusan. Namun, harus diingatkan di dalam politik, kebanyakan drama hanya membenarkan penonton tepi jalan melihat apa yang hendak diperlihatkan – dengan ini bermaksud ada pihak yang inginkan rakyat percaya bahawa sasaran sebenar mereka ialah DAP dan juga Kristian.

Persoalannya, adakah begitu keadaannya?

Sudah tentu tidak. DAP hanya sebuah catur yang digunakan sebagai batu lonjatan untuk melumpuh imej politik musuh yang paling digeruni Umno di minda pengundi-pengundi kawasan pedalaman. DAP bukanlah musuh terbesar Umno. Ia juga bukanlah PKR.

Musuh terbesar Umno ialah PAS.

Sebab untuk setiap kerusi Umno, jika ia kalah, kebarangkaliannya besar ia akan menjadi kerusi PAS di kawasan-kawasan pedalaman. Selepas majoriti bukan Melayu meninggalkan komponen parti Barisan Nasional kerana kebiadapannya, Umno sedar bahawa talian hayat politiknya kini bergantung sepenuhnya di tangan pengundi-pengundi kawasan pedalaman.

Dengan alasan tersebut maka pengundi-pengundi kawasan pedalaman mesti di’cuci’ minda sehingga melihat ‘tiada pilihan lain’ selain Umno. Dengan ungkapan ‘tiada pilihan lain’, ia bermaksud PAS mesti dibunuh dengan segala modal yang ada.

Membunuh DAP tidak akan membantu Umno untuk mengembalikan undi-undi bukan Melayu yang hilang, akan tetapi dengan melakar DAP seteruk parti syaitan, Umno berharap pengundi-pengundi kawasan pedalaman akan menekan PAS, ataupun lebih baik lagi memarahi PAS kerana sanggup bekerja dengan parti syaitan tersebut untuk menyingkirkan sebuah parti orang Melayu, Umno (bukan Barisan Nasional) yang sering digambarkan sebagai parti tunggal pembela orang Melayu di negara ini.

Bacalah analisis penganalisa politik Harakahdaily di bawah dan pembaca bolehlah membuat penilaian sendiri terhadap permainan terbaru Umno.

20 April:


Ekoran kejayaan DAP di Sarawak, editor Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menggesa Umno untuk mengepalai pergerakan kontroversial “1Melayu, 1Bumi”. Ramai pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah membela akhbar milik Umno tersebut walaupun menerima pelbagai kecaman daripada seluruh pelosok negara terhadap cadangan tersebut, yang dilihat bertembung dengan konsep 1Malaysia laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lebih mengejutkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, penyokong kuat Perkasa memberikan amaran supaya Utusan dan Perkasa membatalkan hasrat tersebut kerana cadangan tersebut adalah tidak baik untuk negara.

Semasa mencadangkan pergerakan “1Melayu, 1Bumi” Zaini menulis bahawa DAP berjaya menyatukan orang Cina, maka tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu.

“Jika PAS degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini.“

komentar:


DAP digunakan sebagai alasan untuk memaksa PAS untuk bersama Umno demi orang Melayu. Umno cuba menggambarkan seolah-olah PAS ialah parti Melayu yang ‘pelik’ di mata pengundi-pengundi pedalaman yang majoritinya orang Melayu.

Malah, Umno dan Utusan cuba menjaja idea bahawa kejayaan DAP di Sarawak ialah petanda bahawa orang Cina telah menolak kepimpinan orang Melayu.

Serangan ini dipatahkan dengan hujah ringkas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan membetulkan persepsi bahawa kejayaan DAP di Sarawak hanya membuktikan bahawa orang Cina telah menolak pemimpin Cina dalam Barisan Nasional (BN) kerana DAP hanya menang dengan mengalah calon Cina daripada BN.

Oleh itu, soal orang Cina menolak kepimpinan Melayu langsung tidak berbangkit, terang Tuan Ibrahim.

30 April:


Najib menyeru Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meninggalkan DAP dengan mendakwa bahawa parti tersebut tidak memperjuangkan Islam. Perdana Menteri juga menjemput PAS untuk menyertai Barisan Nasional untuk melaksanakan usaha memperkasakan agenda bangsa, agama dan negara.

Pada masa yang sama, MCA pula mengugut pengundi Cina dengan mengatakan bahawa parti tersebut akan menolak sebarang jawatan kabinet pada masa hadapan sekiranya terus tidak mendapat sokongan daripada kaum tersebut pada pilihanraya umum akan datang.

komentar:

Sekali lagi, Umno menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS dengan menjemput parti Islam tersebut untuk menyertai BN bagi memperkasakan bangsa, agama dan negara walaupun mengetahui sepenuhnya PAS akan menolak usul tersebut sekali lagi kerana tidak mahu bersama memperjuangkan kemungkaran Umno dan kekal bersama Pakatan Rakyat.

Pencacai Umno, MCA pula secara diam akur dengan skrip politik Umno dan cuba menggambarkan bahawa Barisan Nasional akan menjadi kerajaan orang Melayu sahaja jika betul mereka menolak sebarang jawatan kabinet kerana orang Cina tidak menyokong mereka.

Secara tidak langsung, Umno dan MCA dengan sengaja membuka jalan kepada plot berbahaya dengan memberikan gambaran kepada pengundi-pengundi bahawa sebuah 'dikotomi berbahaya' akan wujud dengan kerajaan Melayu-dominan di satu sisi dan pembangkang yang Cina-dominan di sisi yang lain – dan semua ini terjadi kerana Pakatan Rakyat.

Kerana mengetahui bahawa PAS akan menolak sekali lagi dalam usaha ke arah menjayakan plot berbahaya tersebut, skrip politik telahpun disiap-sedia di mana Umno akan menuduh PAS lebih sanggup bekerja dengan parti yang dituduh syaitan oleh Umn iaitu DAP daripada bersama Umno untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam.

Skrip tersebut juga menggambarkan Umno bersifat baik hati dengan melupakan persengketaan lama dengan PAS dengan jemputan tidak ikhlas tersebut tanpa menghiraukan fakta bahawa parti orang Melayu Barisan Nasional tersebutlah yang menganiayai kerajaan orang Islam PAS di Kelantan selama 2 dekad yang lalu.

Pada masa yang sama, Umno juga memberitahu pengundi-pengundi pedalaman bahawa parti PAS angkuh dan mengikut telunjuk DAP menyebabkan parti tersebut meninggalkan perjuangan membela orang Melayu.

Seramai lapan pemimpin tertinggi PAS, termasuk Murshidul Am, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang sinonim walaupun berasingan bahawa parti Islam akan kekal bersama Pakatan Rakyat dengan matlamat untuk mengeluarkan Umno dari Putrajaya dalam pilihanraya umum ke 13.

1 Mei:


Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyeru PAS untuk meninggalkan perjuangan Islam jika parti Islam tersebut ingin menerima jemputan Najib untuk menyertai BN. Chua juga turut mendakwa bahawa Najib amat memahami pendirian MCA yang menolak dasar Islam PAS walaupun mengetahui bahawa perdana menteri menggunakan Islam sebagai alasan untuk kerjasama antara Umno dan PAS.

komentar:


Atas keceluparan dan sentimen anti-Islam Presiden MCA Chua Soi Lek (gambar), hasrat Umno untuk membunuh persepsi politik orang pedalaman terhadap PAS dipatahkan lagi akibat kesungguhan segelintir pemimpin MCA untuk menunjukkan kepada pengundi-pengundi Cina bahawa merekalah yang betul-betul anti Islam demi meraih sokongan.

5 Mei:


Utusan memainkan isu kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang menuduh golongan yang menentang penyatuan Umno-PAS sebagai pengkhianat Islam.

komentar:

PAS sekali lagi ditekan kerana menolak pelawaan Najib untuk berkerjasama dengan Umno atas nama Islam versi Umno yang menghalalkan judi, menghalalkan penganiayaan terhadap negeri Islam yang lain dan menganggap rasuah sebagai sebahagian daripada amalan hidup.

Mufti mempunyai wibawa yang tinggi di kalangan pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman,  dan oleh sebab itu, PAS terpaksa berhati-hati untuk mengatasi perangkap Umno ini dengan menjaga wibawa seorang mufti sambil menolak penyatuan dengan Umno supaya parti Melayu Barisan Nasional tidak dapat menggunakan sebarang alasan untuk sekali lagi membunuh persepsi politik pengundi-pengundi pedalaman terhadap PAS.

Sekali lagi, persoalan ringkas berikut daripada Tuan Ibrahim (gambar bawah) cukup untuk menghalang kemaraan Umno dalam isu ini.

“Sebagai seorang mufti, Dr Juanda perlu memahami bahawa jangkauan perpaduan yang cuba dicadangkannya, perlulah sebaik-baiknya mencerminkan kehendak Islam yang syumul ini, dan lebih penting lagi meletakkan asas penyatuan bagi mencari keredhaan Allah.

"Bagi Dr Juanda dan mereka yang sama fikrah dengan pandangannya, Apakah PAS diminta mendokong kemungkaran dan kebejatan yang dilakukan oleh Umno, samada dalam aspek agama mahupun pengurusan negara?”

7 Mei:


Utusan, Pembela, Perkasa dan Dr Mahathir semuanya memainkan isu konspirasi Kristian pada masa yang sama.

Malah Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Menteri Informasi, Telekomunikasi dan Budaya Rais Yatim turut serta memberikan kredibiliti kepada komplot yang diwar-warkan tersebut dengan memberikan amaran kepada golongan yang mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

MCA, seperti biasa tidak terlalu berani bersuara dan membenarkan Umno untuk meneruskan plot jahatnya. Timbalan Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sekadar mengatakan laporan Utusan itu sebagai omong-omong tanpa memberikan sebarang kritikan terhadap Utusan yang memainkan sentimen yang berbahaya tersebut.

Menyedari permainan berbahaya Umno ini, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Hadi telah mengingatkan bahawa perjuangan bersama Pakatan Rakyat adalah untuk menjunjung perlembagaan negara, terutamanya Islam sebagai agama persekutuan dan bersama membidas permainan Utusan yang berbahaya tersebut.

komentar:


Seperti yang diterangkan Tuan Ibrahim, dengan segala kekuatan DAP sahaja, ia adalah mustahil untuk melakukan dakwaan tersebut kerana jumlah ahli Parlimen mereka tidak mencukupi, bahkan atas nama Pakatan Rakyat sekalipun, tak mungkin PAS dan PKR akan bersetuju, lagi-lagi DAP pun tidak akan mencadangkan usul yang cukup tidak logik tersebut.

Sebagai langkah untuk membetulkan persepsi pengundi-pengundi kawasan pedalaman, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang dasar negara memerlukan persetujuan majoriti dalam parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen yang majoritinya Islam.

“Pindaan dasar negara bukan boleh dibuat dalam mesyuarat di hotel atau dalam majlis tertutup. Sebarang pindaan perlembagaan tentu akan dibincangkan di parlimen, dan kalaulah ini terjadi, apakah wakil rakyat yang majoritinya beragama Islam akan bersepakat dan bersetuju dengan pindaan tersebut?

“Sudah tentu tidak. Lebih-lebih lagi, Pakatan Rakyat sudah awal-awal lagi mengisytiharkan bahawa kita akan mendokong sepenuhnya Perlembagaan Malaysia, lebih-lebih lagi Islam sebagai agama rasmi negara,” terang beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Jadi, jikalau sudah tahu perkara konspirasi Kristian itu tidak berasas dan tidak logik, mengapa Umno masih ingin mainkan isu yang serba berbahaya ini?

Jawapannya mudah – untuk mencipta satu ‘common enemy’ (musuh bersatu) yang tidak wujud di minda pengundi-pengundi Melayu di kawasan pedalaman supaya menekan PAS untuk bekerjasama dengan Umno untuk mengatasi kemelut buatan Umno ini.

Sekali lagi, segala plot yang Umno mainkan sasarannya ialah PAS, dan memaksa parti Islam tersebut ke satu penjuru supaya para pengundi Melayu pedalaman hanya akan lihat Umno sebagai satu-satunya pilihan yang ada untuk membela bangsa dan agama Islam pada pilihanraya depan kerana mereka tahu parti Islam tidak akan bersama mereka dalam kerja menfitnah dan menkucar-kacirkan negara.

Selepas plot menjatuhkan Anwar dengan video lucah gagal, Umno sekarang bertukar menggunakan DAP sebagai batu loncatan untuk memainkan sentimen pengundi-pengundi Melayu pedalaman terhadap PAS, dengan menuduh parti Islam tersebut tidak berupaya untuk mempertahankan mereka dan menjadi kuda tunggangan kepada bukan Islam yang mereka sering gambarkan sebagai golongan dominan di Pakatan Rakyat.

Dengan memainkan isu sensitif ini juga, ia juga menunjukkan bahawa Umno tidak selesa untuk mengadakan piliharaya umum sekarang ini, kerana dengan menggunakan Kristian sebagai mangsa untuk kenakan PAS, parti Melayu Barisan Nasional itu tahu bahawa deposit kekalnya di Sarawak dan Sabah akan terjejas lebih teruk lagi berbanding keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang lepas.

Dengan pengumunan Suruhanjaya Pilihanraya semalam bahawa ia sudah mula 0membuat kajian awal persempadanan semula kawasan pilihan raya, rasanya pilihanraya umum akan dipanggil selepas kawasan majoriti Melayu dipecahkan dan kawasan majoriti Cina digabungkan untuk membolehkan Umno memenangi lebih banyak kerusi dengan hanya bergantung kepada pengundi pedalaman.

Jadi, siapa lagi yang melihat DAP dan Kristian sebagai sasaran sebenar Umno? Untuk menumpaskan Umno, semua pihak berkewajiban untuk menyedarkan pengundi-pengundi Melayu pedalaman untuk menyokong PAS, yang kini semakin dilihat sebagai parti pengaman dan penstabil berbanding Umno yang suka mengkucar-kacirkan negara dengan sentimen berbahaya demi kepentingan politik.

Ahad, 1 Mei 2011

BENGKEL PENULISAN PENDAKWAH MUDA SIRI II 2011

Alhamdulillah, sebenarnya akupun tak tahu macamana boleh terbuka hati untuk pergi ke program ni., seorang pulak tu, mungkin ini Taufik dariNya. Alhamdulillah bertemu juga dengan sahabat lama di UPM iaitu Ilriady., tak la merasa kesunyian sangat. banyak input-nput berguna yang diperolehi dari ustaz hasrizal dan semangat dari Ustaz Ridhuan Mohd Nor. untuk aku terus bertatih dan menulis bagi memperkembangkan fikrah dan dakwah yang tertanggung bagi setiap mukallaf.

program tersebut seperti berikut:-


Tarikh : 1 Mei 2011 (Ahad)

Masa : 8.00 pagi - 12.00 tengahari

Tempat : Dewan Masjid As-Solihin, Kampung Teras Jernang, Seksyen 14, Bandar Baru Bangi

Anjuran : Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam DPPP dengan kerjasama GAMIS

Pembentang :
1. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
2. Ustaz Riduan Mohamad Nor