Sabtu, 30 April 2011

Hukum dan adab bersumpah dalam Islam

"Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

رَأَى عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَجُلاً يَسْرِقُ فَقَالَ لَهُ: أَسَرَقْتَ! قَالَ: كَلاَّ! وَاللَّهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ! فَقَالَ عِيسَى: آمَنْتُ بِاللَّهِ وَكَذَّبْتُ عَيْنِي.

(Nabi) ‘Isa ibni Maryam (‘alaihi al-salam) melihat seorang lelaki mencuri, lalu dia berkata kepadanya: “Apakah kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Tidak! Demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia!” Maka ‘Isa berkata: “Aku beriman kepada Allah dan aku mendustakan mataku.” (1)

Demikianlah besarnya kedudukan sumpah di dalam Islam sehingga ia diunggulkan atas mata yang melihat. Berdasarkan hadis ini juga, jika bertembung antara sumpah dengan sesuatu yang lain, maka yang diunggulkan ialah sumpah.

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3444 (Kitab Ahadits al-Anbiya’, Bab firman Allah berkenaan Maryam…).

Klik untuk download artikel ini

Namun, tentu sahaja sebelum sesuatu sumpah itu dapat memiliki authority seumpama di atas, orang yang bersumpah dan orang yang mendengar sumpah perlu mengetahui hukum dan adab-adab bersumpah di dalam Islam. Jika tidak, dibimbangi sumpah akan menjadi alat mainan sehingga ia hilang authority yang sepatutnya ia miliki. Oleh itu marilah kita mengkaji dan mendalami “sumpah” di dalam Islam.

Erti Sumpah.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان) yang merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya ia bererti tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab lazimnya mengangkat tangan kanan mereka.[2] Juga, apabila mereka saling bersumpah, masing-masing memukul tangan kanannya dengan tangan kanan orang yang bersumpah.[3] Adapun dari sudut istilah, ia bererti menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. [4]

Syarat Sumpah.

Agar sumpah menjadi sah (valid) dan berauthority sebagaimana hadis di atas, ia perlu terlebih dahulu menepati satu syarat, iaitu ia disumpah atas nama Allah, salah satu dari nama-nama Allah atau salah satu dari sifat-sifat Allah. Berikut diperincikan syarat ini:

Sumpah dengan nama Allah.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ أَوْ لِيَصْمُتْ.

Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah.[5]

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah”.

Sumpah dengan salah satu dari nama-nama Allah.

Berdasarkan hadis di atas juga, boleh bersumpah dengan salah satu nama Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Khalik dan sebagainya. Seumpama: “Demi al-Rahman, aku tidak pernah melakukan hal itu”. [6]

Sumpah dengan salah satu sifat Allah.


Sumpah sebegini pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, umpama:

أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الَّذِي لاَ يَمُوتُ وَالْجِنُّ وَالإِنْسُ يَمُوتُونَ.

Aku berlindung dengan Kemuliaan Kamu, yang tidak ada Tuhan melainkan Kamu yang tidak mati manakala jin dan manusia akan mati. [7]

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كَانَتْ يَمِينُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَمُقَلِّبِ الْقُلُوبِ.

Daripada Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma), dia berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersumpah dengan berkata: “Tidak! Demi yang membolak-balikkan hati.”[8]

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلاَ نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ.

Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka.[9]

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan:

سَمِعَ ابْنُ عُمَرَ رَجُلاً يَحْلِفُ: لاَ وَالْكَعْبَةِ! فَقَالَ لَهُ ابْنُ عُمَرَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ أَشْرَكَ.

Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah: “Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.” [10]

Sumpah dengan selain Allah bukan sahaja tidak sah dan syirik, orang yang melakukannya perlu segera mengucapkan syahadah, mempersaksikan bahawa “Tiada Tuhan Melainkan Allah”:

مَنْ حَلَفَ مِنْكُمْ فَقَالَ فِي حَلِفِهِ: بِاللاَّتِ, فَلْيَقُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَمَنْ قَالَ لِصَاحِبِهِ: تَعَالَ أُقَامِرْكَ فَلْيَتَصَدَّقْ.

Sesiapa di antara kalian bersumpah lalu berkata dalam sumpahnya itu: “Demi Latta!”, maka hendaklah dia mengucapkan La ilaha illallah. Dan sesiapa yang berkata kepada temannya: “Ayuh, aku ingin bertaruh dengan kamu”, maka hendaklah dia bersedekah.[11]

Mengapakah sumpah dengan selain Allah boleh melibatkan syirik? ‘Abd Allah al-Bassam hafizhahullah menjawab persoalan ini:

al-Yamin ialah sumpah dengan kata-kata khusus bagi menguatkan sesuatu yang disumpah, iaitu dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Orang yang bersumpah apabila ingin menguatkan sesuatu, baik dalam rangka menafikan atau menetapkan, maka dia perlu menguatkannya dengan sumpah yang disandarkan kepada yang mulia, yakni dengan mengucapkan sesuatu mulia yang dia miliki.

Sejak dahulu lagi, manusia menyakini bahawa sesuatu yang dijadikan sandaran sumpah akan menguasai orang yang bersumpah, di mana ia dapat memberikan manfaat atau mudarat berdasarkan sebab-sebab rasional dan tidak rasional. Apabila orang yang bersumpah menepati apa yang dia sumpahkan, maka (diyakini) yang dijadikan sandaran sumpah tersebut telah rela dan mengabulkan sumpahnya. Apabila (yang dijadikan sandaran sumpah) tidak rela, maka ia akan menimpakan bahaya kepadanya.

Atas dasar inilah, sumpah atas nama selain Allah Subhanahu wa Ta'ala atau atas nama selain sifat Allah dikatakan sebagai perbuatan syirik (kerana menyakini manfaat dan mudarat datang dari apa yang dijadikan sandaran sumpah dan bukan datang dari Allah).[12]

Selain larangan bersumpah dengan selain Allah, seseorang itu juga diperingatkan agar jangan berdusta dalam sumpah, sekalipun terhadap perkara yang amat kecil. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ اقْتَطَعَ حَقَّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينِهِ فَقَدْ أَوْجَبَ اللَّهُ لَهُ النَّارَ وَحَرَّمَ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ. فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: وَإِنْ كَانَ شَيْئًا يَسِيرًا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: وَإِنْ قَضِيبًا مِنْ أَرَاكٍ.

“Sesiapa yang mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya (yang dusta), maka sesungguhnya Allah mewajibkan baginya neraka dan mengharamkan ke atasnya syurga.”

Lalu seorang (yang hadir bersama) bertanya kepada baginda: “Sekalipun terhadap sesuatu yang remeh ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “(Ya), sekalipun sebatang kayu arak (yang digunakan untuk bersiwak).”[13]

Mengingatkan besarnya ancaman bagi orang yang berdusta dalam sumpahnya, maka Islam menganjurkan sikap “cegah sebelum parah”, yakni jangan biasakan diri bersumpah. Jangan bersumpah tentang itu dan ini tanpa sebarang keperluan untuk bersumpah. Kebiasan bersumpah akan menyebabkan orang itu merasa tidak mengapa untuk berdusta dalam sumpahnya sehingga akhirnya terjebak dalam ancaman hadis di atas. Justeru Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَلاَ تُطِعْ كُلَّ حَلاَّفٍ مَهِينٍ .

Dan janganlah kamu menurut orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina.[al-Qalam 68:10]

Beberapa Persoalan Berkaitan Sumpah.


Sah atau tidak sumpah dengan lafaz yang tidak jelas?

Para ilmuan berbeza pendapat tentang orang yang bersumpah dengan lafaz yang tidak jelas, umpama “Demi janji Allah…” atau orang yang hanya menyebut “Aku bersumpah…” tanpa menyandarkannya kepada Allah. Perbezaan ini membuahkan tiga pendapat:

1. Sumpah tersebut adalah sah (valid).

2. Sumpah tersebut tidak sah (invalid).

3. Sumpah tersebut sah jika penyumpah meniatkannya sebagai satu sumpah, tidak sah jika penyumpah tidak meniatkannya sebagai satu sumpah.

Di antara tiga pendapat ini, yang terbaik ialah meminta penyumpah melafazkan semula sumpahnya dengan lafaz yang pasti, umpama “Demi Allah aku bersumpah tidak melakukan hal ini”. Jika dia enggan, maka sumpahnya dianggap tidak sah kerana memiliki unsur keraguan di dalamnya.

Sah atau tidak sumpah dengan ucapan insya-Allah?

Sumpah ini tidak sah berdasarkan hadis berikut:

مَنْ حَلَفَ فَاسْتَثْنَى فَإِنْ شَاءَ رَجَعَ وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ غَيْرَ حِنْثٍ.

Sesiapa yang bersumpah lalu dia membuat pengecualian (dengan menyebut insya-Allah), maka jika dia menghendaki dia boleh menarik balik (sumpahnya itu) dan jika dia menghendaki dia boleh mengabaikan (sumpahnya itu) kerana ia bukanlah satu pelanggaran sumpah.[14]

Bolehkah bersumpah dengan al-Qur’an?


Kamal bin al-Sayyid Salim hafizhahullah menjawab persoalan ini:

al-Qur’an ialah perkataan Allah (kalamullah) dan ia bukan ciptaan (Allah). Perkataan Allah yang suci itu merupakan satu sifat dari sifat-sifat-Nya. Oleh kerana itu jumhur ilmuan, kecuali Abu Hanifah, berpendapat boleh bersumpah dengan al-Qur’an dan sumpah itu menjadi sah… Sementara itu tokoh Mazhab Hanafi yang mutakhir seperti Ibn al-Hamam dan al-Aini menguatkan pendapat jumhur membolehkan sumpah dengan al-Qur’an. (Demikian kenyataan Wahbah al-Zuhaili dalam) al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, jld. 3, ms. 379.

Sesiapa yang bersumpah dengan mushaf al-Qur’an sementara yang dia maksudkan ialah perkataan Allah yang tertulis dalam mushaf itu, maka ia dibolehkan. Namun jika yang dia maksudkan ialah lembaran kertas yang tertulis (atasnya ayat al-Qur’an), maka ia tidak dibolehkan. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.[15]

Saya (Hafiz Firdaus) menambah, dalam suasana kebanyakan umat Islam masa kini yang tidak faham tentang sifat Kalamullah dan kaitannya dengan al-Qur’an, serta tidak tahu membezakan antara Kalamullah dan tulisan di atas al-Qur’an, maka adalah lebih selamat mereka tidak bersumpah dengan menggunakan al-Qur’an.

Apakah hukum orang yang melanggar sumpahnya?

Orang yang bersumpah dengan menepati syarat sahnya lalu dia melanggar sumpah itu, maka diwajibkan kafarat sumpah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

لاَ يُؤَاخِذُكُمْ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمْ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dalam keadaan bersungguh-sungguh. Maka kafaratnya ialah:

Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,

Atau memberi pakaian untuk mereka,

Atau memerdekakan seorang hamba.

Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan tiga pilihan kafarat di atas), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari.

Yang demikian itu ialah kafarat penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:89]

Bagi sumpah yang berganda, maka ia diperincikan sebagai berikut:

Orang yang melafazkan sumpah beberapa kali untuk satu perkara yang sama lalu dia melanggarnya, maka kafaratnya hanya sekali.

Orang yang melafazkan satu sumpah untuk beberapa perkara dengan satu lafaz, maka satu kafarat bagi setiap perkara yang dilanggarnya.[16]

Walaubagaimanapun terdapat beberapa jenis pelanggaran sumpah yang tidak diwajibkan kafarat, iaitu:

Sumpah dusta (al-Yamin al-Ghamus). Sumpah ini hukum asalnya memang tidak sah kerana ia adalah dusta. Disebabkan ia sejak awal adalah tidak sah, maka pelanggarannya tidak mewajibkan kafarat. Akan tetapi orang yang melakukan sumpah dusta tersebut diwajibkan bertaubat dan menyatakan apa yang benar di sebalik pendustaannya itu.

Percakapan biasa yang tidak dimaksudkan sebagai sumpah (al-Yamin al-Laghw). Terhadap ayat 89 surah al-Maidah di atas, ‘Abd Allah al-Bassam hafizhahullah menulis: “Aisyah radhiallahu 'anha menafsirkan sumpah yang tidak dimaksudkan adalah perkataan yang sering diucapkan oleh lisan manusia saat mereka berbicara, iaitu ucapan mereka sendiri seperti La wallahi dan Bala billah. Ia adalah ungkapan yang sering diucapkan oleh lisan tetapi tidak diniatkan oleh hati sebagai sumpah. Penafsiran sebegini dikemukakan oleh tiga imam mazhab.”[17]

Orang yang melanggar sumpahnya kerana terlupa, keliru atau dipaksa. Ini berdasarkan keumuman hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ.

Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesilapan, kekeliruan dan apa yang dipaksa ke atasnya.[18]

Orang yang telah bersumpah untuk sesuatu yang akan datang, lalu kemudian dia mendapati sesuatu yang lebih baik dari apa yang dia sumpahkan, maka tidaklah bersalah untuk dia melanggar sumpahnya yang awal, asalkan dia membayar kafarat. Dalilnya ialah hadis berikut:

وَإِذَا حَلَفْتَ عَلَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا فَكَفِّرْ عَنْ يَمِينِكَ وَأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ.

Apabila kamu bersumpah dengan sesuatu sumpah, lalu kamu melihat sesuatu lain yang lebih baik dari apa yang telah kamu sumpah, maka bayarlah kafarat dari sumpah kamu (yang awal itu) dan ambillah yang lebih baik itu.[19]

Bagaimana menangani pendapat yang membolehkan sumpah dengan selain Allah?

Diketahui terdapat sebahagian pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah. Mereka berhujah dengan beberapa sumpah Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam al-Qur’an, di mana Allah bersumpah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya. Antara ayat al-Qur’an yang dimaksudkan:

وَالسَّمَاءِ وَالطَّارِقِ.

Demi langit dan (bintang) al-Thariq! [al-Thariq 86:01]

وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2).

Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh! [al-Fajr 89:01-02]

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا.

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari! [al-Syams 91:01]

Penghujahan di atas dapat ditolak dengan penjelasan:

Sumpah-sumpah seperti di atas mengandungi sandaran sumpah yang tersembunyi, iaitu Pencipta bagi ciptaan-ciptaan tersebut, yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sehingga yang dimaksudkan dalam sumpah-sumpah tersebut ialah “Demi Pencipta langit dan bintang al-Thariq”, “Demi Pencipta waktu fajar dan malam yang sepuluh” dan “Demi Pencipta matahari dan cahayanya di pagi hari”.

Sumpahan Allah dengan menyandar kepada ciptaan-ciptaan-Nya memiliki tujuan menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta perkara-perkara tersebut. Justeru apabila Allah bersumpah “Demi matahari…”, ia bagi menunjukkan kepada manusia kekuasaan dan keagungan-Nya dalam mencipta matahari.

Berdasarkan dua penjelasan di atas, dapat diketahui bahawa sumpah seumpama ayat-ayat al-Qur’an di atas hanya layak bagi Allah, justeru menjadi hak-Nya sahaja. Kita sebagai manusia tidak layak meniru tatacara sumpah sedemikian.

Selain itu pihak yang membolehkan sumpah dengan selain Allah menggunakan hadis berikut sebagai dalil:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا؟ فَقَالَ: أَمَا وَأَبِيكَ لَتُنَبَّأَنَّهُ أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْبَقَاءَ وَلاَ تُمْهِلَ حَتَّى إِذَا بَلَغَتْ الْحُلْقُومَ قُلْتَ لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنٍ.

Daripada Abu Hurairah (radhiallahu 'anh) dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang paling tinggi anjarannya?”

Rasulullah menjawab: “Demi ayah kamu! Tentu aku akan menjelaskannya. Iaitu sedekah ketika kamu sihat tetapi kedekut kerana bimbang kefakiran dan berharap agar harta itu kekal bersamamu. Janganlah menunda sedekah sehingga ke saat nyawa kamu hampir ditarik, lalu pada saat itu kamu berkata: “Untuk si-fulan harta ini, untuk si-fulan harta itu” padahal pada saat itu harta tersebut memang sudah menjadi hak orang-orang itu.”[20]

Pendalilan dengan hadis di atas dijawab, bahawa perkataan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam “Demi ayah kamu!” bukanlah satu sumpah tetapi sekadar ungkapan yang lazim di sisi masyarakat Arab (al-Yamin al-Laghw). al-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

(Rasulullah) bersumpah dengan ayah (sahabat itu) padahal (baginda) melarang bersumpah dengan selain Allah. Maka berkenaan sumpah dengan sandaran ayah ini, dijelaskan bahawa sumpah yang dilarang dengan selain Allah adalah apabila ia memang dimaksudkan (sebagai sumpah). Adapun lafaz sumpah dalam hadis ini, ia merupakan kebiasaan di atas lisan orang-orang Arab tanpa (mereka) memaksudkannya (sebagai sumpah). Maka ia tidak termasuk dalam kategori sumpah yang dilarang oleh baginda.[21]

Dalam kes jenayah, bolehkah yang tertuduh bersumpah sebelum diminta oleh hakim?

Terdapat dua hadis yang menjadi rujukan bagi persoalan ini:

يَمِينُكَ عَلَى مَا يُصَدِّقُكَ عَلَيْهِ صَاحِبُكَ.

Sumpah kamu wajib berada di atas apa yang diminta oleh lawan kamu (yang membuat tuduhan).[22]

الْيَمِينُ عَلَى نِيَّةِ الْمُسْتَحْلِفِ.

Sumpah bergantung kepada niat orang yang meminta sumpah.[23]

Berdasarkan dua hadis di atas, para ilmuan terbahagi kepada dua pendapat:

Orang yang tertuduh hendaklah menunggu hingga hakim meminta dia bersumpah bagi membersihkan tuduhan ke atas dirinya.

Asalkan ada tuduhan, orang yang tertuduh boleh bersumpah bagi membersihkan dirinya. Dengan syarat ia diminta atau dicadangkan oleh orang yang memiliki kedudukan di sisi masyarakat atau negara, baik orang itu ialah seorang hakim atau selainnya.

Pada analisa saya, yang lebih kuat ialah pendapat yang kedua. Penjelasannya adalah seperti apa yang dikatakan oleh Muhammad bin Ismail al-Shan‘ani rahimahullah:

Kesimpulannya, sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah dalam semua perkara kecuali apabila diminta bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapkan ke atasnya. Maka dalam kes ini sumpah hendaklah sesuai dengan maksud orang yang meminta dia bersumpah (yakni hakim atau wakilnya). Inilah maksud hadis di atas.

Adapun apabila dia bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah oleh hakim atau wakilnya terhadap sesuatu tuduhan yang dihadapnya, maka sumpah itu sesuai dengan niat orang yang bersumpah.

… Saya (al-Shan‘ani) berkata, tidak diketahui dari mana datangnya pembatasan (terhadap keumuman) hadis di atas kepada hakim atau wakilnya sahaja (dalam persoalan permintaan sumpah). Padahal zahir hadis menunjukkan apabila sumpah itu diminta oleh orang yang memiliki hak (yakni kedudukan dalam masyarakat atau negara), maka niat sumpah itu sesuai dengan niat orang yang memintanya (dan ini berlaku secara) mutlak.[24]

Apakah maksud sumpah Mubahalah?

Sumpah mubahalah merujuk kepada ayat berikut:

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنْ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ.

Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya sesudah kamu beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.” [‘Ali Imran 3:61]

Perkataan Mubahalah (مباهلة) berasal daripada kata bahlah atau buhlah (بهلة) yang bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran.[25]

Merujuk kepada ayat di atas, diriwayatkan bahawa pada satu ketika datang delegasi Nasrani dari Najran[26] untuk berdialog dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Kota Madinah dalam subjek perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Setelah disampaikan segala hujah yang benar yang tidak mampu dijawab oleh delegasi Nasrani, mereka tetap enggan mengakui kebenaran Islam, apatah lagi memeluknya. Keengganan delegasi Nasrani ini menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat 61 surah ‘Ali Imran di atas.

Berdasarkan ayat ini, apabila terdapat dua pihak yang bertikai dengan saling menuduh sementara masing-masing pihak telah mengemukakan hujah masing-masing, maka alternatif terakhir bagi menyelesaikan pertikaian ialah melakukan sumpah mubahalah. Melalui sumpah mubahalah masing-masing pihak membawa ahli keluarga terdekat masing-masing dan bersumpah seandainya pihak yang menuduh berdusta, laknat Allah akan tertimpa ke atas ahli keluarganya.

Kehadiran ahli keluarga terdekat memiliki pengaruh yang amat mendalam sehingga orang yang berdusta dalam membuat tuduhan akan menarik balik tuduhannya itu. Ini kerana dia tidak mahu kesalahan dirinya sendiri memberi kesan buruk kepada ahli keluarga tersayangnya, yang pada asalnya memang tidak bersalah langsung.

Dengan merujuk kepada hadis-hadis yang mengkhabarkan peristiwa mubahalah yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dapat dirumuskan beberapa syarat sumpah mubahalah:

Ia sebagai alternatif terakhir setelah semua alternatif lain dilaksanakan bagi meleraikan pertikaian.

Masing-masing pihak membawa bersama ahli keluarganya yang terdekat.

Masing-masing pihak bersama ahli keluarga terdekat hadir secara berhadapan.

Masing-masing pihak bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku bersumpah aku tidak bersalah dalam tuduhan ini. Ya Allah! Yang menuduh telah berdusta dalam membuat tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas penuduh dan ahli keluarganya.” Pihak kedua pula bersumpah, umpama: “Demi Allah! Aku tidak berdusta dalam membuat tuduhan ini. Ya Allah! Yang tertuduh telah berdusta dalam menafikan tuduhan, maka jatuhkanlah laknat-Mu ke atas tertuduh dan ahli keluarganya.”

Lazimnya apabila masing-masing pihak hadir bersama ahli keluarga terdekat secara berhadapan, sumpah mubahalah tidak akan berlaku. Pihak yang membuat tuduhan palsu akan menarik diri. Bahkan dia mungkin tidak akan hadir atau tidak akan membawa ahli keluarganya. Ini sebagaimana yang berlaku kepada delegasi Najran itu sendiri. Hadis berikut menjadi rujukan:

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ: جَاءَ الْعَاقِبُ وَالسَّيِّدُ صَاحِبَا نَجْرَانَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرِيدَانِ أَنْ يُلاَعِنَاهُ. قَالَ: فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ لاَ تَفْعَلْ فَوَاللَّهِ لَئِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلاَعَنَّا لاَ نُفْلِحُ نَحْنُ وَلاَ عَقِبُنَا مِنْ بَعْدِنَا, قَالاَ إِنَّا نُعْطِيكَ مَا سَأَلْتَنَا وَابْعَثْ مَعَنَا رَجُلاً أَمِينًا وَلاَ تَبْعَثْ مَعَنَا إِلاَّ أَمِينًا. فَقَالَ: لأَبْعَثَنَّ مَعَكُمْ رَجُلاً أَمِينًا حَقَّ أَمِينٍ. فَاسْتَشْرَفَ لَهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ: قُمْ يَا أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الْجَرَّاحِ. فَلَمَّا قَامَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ.

Daripada Huzaifah (radhiallahu 'anh), dia berkata: al-Aqib dan al-Sayyid, ketua delagasi Najran datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk saling melaknat (Mubahalah).

(Huzaifah menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada sahabatnya: “Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia (Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah kita tidak akan mencapai kejayaan.”

Lalu akhirnya mereka berdua berkata: “Kami akan memberikan apa yang kamu minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah.” Rasulullah menjawab: “Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.”

Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: “Bangunlah wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah.” Tatkala (Abu ‘Ubaidah) berdiri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Inilah orang amanah umat ini.” [27]

Ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah

Tuesday, 09 September 2008

Sumber

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3444 (Kitab Ahadits al-Anbiya’, Bab firman Allah berkenaan Maryam…).

[2] ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam – Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 7, ms. 105.

[3] Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah wa Adillatuh wa Taudhih Mazahib al-Aimmah (Maktabah al-Taufiqiyyah, Kaherah), jld. 2, ms. 285.

[4] Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 105.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2679 (Kitab al-Syahadat, Bab bagaimana cara bersumpah).

[6] Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 288.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7383.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6628.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 153.

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albbani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3251.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1647.

[12] Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 108.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 137.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3262.

[15] Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 289-290.

[16] Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 2, ms. 314-315.

[17] Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jild. 7, ms. 117.

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1675.

[19] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6622.

[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1032-2.

[21] al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar al-Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut), jld. 4, ms. 359.

[22] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1653.

[23] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1653-2.

[24] Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (Dar al-Arqam, Beirut), jld. 2, ms. 423.

[25] Quraish Shihab – Tafsir al-Mishbah (Lentera Hati, Djuanda), jld. 2, ms. 105.

[26] Najran terletak di Yaman, kira-kira 240km di utara bandar San’a. [Syed Anwar Ali – Qur’an: The Fundamental Law of Human Life (Hamdard Foundation, Karachi 1987), jld. 4, ms. 172].

[27] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 4380.

Sumber *

Nota:

Hukum dan Adat bersumpah dalam Islam ternyata melindungi individu itu sendiri yang bersumpah.Bukan sekadar membersihkan nama nya sendiri akan tetapi menampakkan Islam itu agama yang syumul dan mencerminkan jiwa penganutnya yang sebenar.Tetapi jika sumpah yang dilakukan hanya dengan niat untuk membuatkan masyarakat percaya apa yang dituduh atau tertuduh sendiri melakukan perkara yang mengaibkan bukan niat kerana Allah maka apakah hukumnya?

Jika itulah niat sebenar seseorang itu maka pencuri yang telah sah mencuri (hukuman mahkamah)bolehlah bersumpah muhaballah.Sumpah dalam Islam bukan untuk dipermainkan dan bukan cukup dengan menghimpunkan sekalian wartawan dan menghebohkan seantero dunia bahawa dia adalah benar dan jika tidak dia akan dilaknat.Peribadi seseorang yang bergelumang dengan maksiat dan boleh disifatkan sebagai jahil hanya ikut-ikutan sahaja dan bersumpah adakah akan diterima Allah?Sedangkan ada hadis nabi mengatakan jika sesorang itu bersolat hanya dengan ikut-ikutan sahaja menyebabkan tiada pahala yang akan dapat kecuali melepaskan diri dari siksaan kubur.

Setiap perbuatan kita lakukan adalah dengan niat,sekiranya niat kita hendak melakukan amal kebajikan sahaja Allah telah beri pahala biarpun perbuatan untuk melakukan amal kebajikan itu belum dilakukan.


http://waksab.blogspot.com"

Khamis, 28 April 2011

Video seks kotori minda anak muda - harakahdaily.net



Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor   
Firman Allah bermaksud: "Dan infakkanlah hartamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam lembah kebinasaan dengan tanganmu sendiri, dan berbuatlah kebaikan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." [Al-Baqarah:195]
Ibu bapa hari ini sangat berwaspada dengan kegiatan anak-anak yang tidak bermoral melalui medium internet. Selain majalah-majalah yang memaparkan gambar berunsur negatif, internet adalah jalan alternatif yang mudah untuk memuat turun segala video yang diinginkan. Anak muda yang terdidik dengan sistem alam maya ini didedahkan dengan pelbagai video lucah di internet.
Kebimbangan ini semakin parah apabila tapisan yang dibuat di internet untuk mengelakkan anak-anak terjebak dengan gejala negatif ini seolah-olah hanyalah sebagai syarat yang mampu ditembusi oleh mereka. Guru-guru di sekolah juga sentiasa memasukkan elemen nasihat seperti menjelaskan kesan dan akibat daripada mlihat video lucah.
Namun, usaha ibu bapa dan guru-guru seolah-olah hampa dan memutuskan semangat. Hal ini terjadi apabila siaran televisyen memaparkan cerita-cerita dan filem-filem yang sangat teruk, mempunyai adegan-adegan melampau dan pelakon-pelakon yang seksi.
Lebih hancur lagi harapan ibu bapa dan guru yang berusaha keras memastikan anak bangsa mempunyai nilai akhlak yang terpuji apabila isu video seks permainan politik diketengahkan. Bukan persoalan salah siapa, tetapi video yang dimuatkan dan gambar-gambar tidak bermoral ditayangkan untuk khalayak umum yang perlu dititikberatkan.
Akhbar tempatan memaparkan gambar lucah, siaran televisyen kerajaan menayangkan beberapa aksi panas dan pawagam rakyat (Youtube) mendedahkan segala cerita yang berlaku.
Video seks telah mengotori minda anak muda:
1) Pintu fitnah dibuka seluas-luasnya
2) Penyebaran video seks diberi lampu hijau
3) Tiada penjelasan daripada perspektif hukum Islam kepada seluruh rakyat mengakibatkan kekeliruan
4) Memberi persepsi politik kotor kepada anak muda
Dalam isu ini, peranan secara serius perlu dimainkan oleh golongan akademik dan ulama. Kes seperti ini telah membarah teruk dalam masyarakat khususnya anak muda hari ini.
Satu konvensyen besar-besaran perlu dianjurkan di peringkat nasional yang terdiri daripada golongan ulama, ahli akademik dan golongan profesional yang bebas daripada unsur politik bagi mengatasi konflik yang tidak terarah ini.
Anak muda khususnya mahasiswa Islam tidak sekali-kali dapat menerima hal seperti ini. Anak muda dan masyarakat menjadi mangsa pergaduhan politik sesama sendiri ini.
maksud firman Allah: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”[An-Nahl:125]
Justeru, saya menyeru kepada seluruh anak muda dan masyarakat luar agar kita semua berpegang dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang baik untuk mengelakkan terjerumus dalam kancah fitnah yang berleluasa ini. Semoga Malaysia lebih aman dan sejahtera.
We Unite For Islam
Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor
Mahasiswa UIAM

Mengapa Ikhwanul Muslimin Mesir perlu belajar dari PAS?

Mengapa Ikhwanul Muslimin Mesir perlu belajar dari PAS?
Dr Maszlee Malik*

Apa pun perkembangan terkini pasca-thawrah (revolusi) yang telah berlaku di Mesir, sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah peranan yang bakal dimainkan oleh pertubuhan Ikhwanul Muslimin (IM) di dalam lanskap baru politik Mesir. Walaupun mereka menolak untuk bertanding di dalam pemilihan presiden dan juga menolak kemungkinan untuk mendapatkan majoriti di dalam parlimen Mesir menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan, sesuatu yang hampir pasti, sesiapa pun yang akan memerintah Mesir nanti, IM hampir pasti menjadi sebahagian darinya. Memandangkan kebanyakan parti politik di Mesir mempunyai keterbatasan masing-masing dari segi saiz dan sokongan rakyat, tidak dapat tidak, kerajaan baru yang akan dibentuk pasti merupakan kerajaan koalisi. Apapun koalisinya, sesuatu yang pasti IM pasti akan menjadi sebahagian daripada koalisi tersebut. Ibarat perumpamaan Inggeris, IM pasti akan menjadi ‘sausage in the hotdog’ atau ‘beef in the plate’. Demi menempuh realiti yang bakal menjelang nanti, IM perlu belajar dari pengalaman gerakan Islam lain, terutamanya di dalam hal berkoalisi, mentadbir dan juga hubungan dengan non-Muslim. Meskipun sesetengah tokoh IM sibuk merujuk kepada pengalaman Turki, namun sebuah lagi gerakan Islam yang tidak kurang dinamisme dan pengalaman di dalam persada politik yang tidak patut diketepikan, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Walaupun usia IM di dalam persada dakwah lebih lama dari PAS, dan IM juga pernah menyertai politik dan parlimen Mesir sebagai blok pembangkang, namun hakikatnya ialah IM masih kurang dar segi pengalaman berkoalisi untuk memerintah, apatah lagi mentadbir sebuah kerajaan berbanding dengan PAS. Di sinilah terletak kekuatan PAS yang perlu dikongsikan kepada ‘senior’ mereka untuk IM menempuh hari-hari mendatang di bumi Mesir. Realiti di dalam persada politik ialah, IM perlu belajar dari PAS yang lebih banyak makan garam dan telah merasakan jatuh bangun di dalam arena politik kebangsaan.

Sebagai contoh, PAS mempunyai pengalaman yang banyak dalam berkoalisi dengan pihak lain, hatta dengan seteru politik sekalipun semenjak ia ditubuhkan. Dari sudut yang lain pula, sejarah Malaysia telah menyaksikan bahawa PAS pernah berkoalisi dengan Perikatan di dalam kerajaan yang memerintah. Di dalam blok pembangkang pula, PAS pernah melalui zaman Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk berkoalisi dengan golongan nasionalis Semangat 46 dan beberapa parti lain pada era-90’an. PAS juga pernah berkoalisi dengan Parti keADILan dan juga DAP di dalam Barisan Alternatif (BA) pasca-reformasi 1998. Terkini, PAS merupakan rakan koalisi aktif di dalam blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang telah menyebabkan tsunami politik yang melanda tanahair pada PRU ke-12, 2008, dan kini sedang mempersiapkan diri untuk memenangi PRU ke-13 sekaligus memerintah Malaysia.

Dari segi pengalaman memerintah dan mentadbir pula, walaupun PAS belum pernah memerintah Malaysia, namun PAS mempunyai pengalaman yang lama di dalam mentadbir dan memerintah negeri Kelantan. Di dalam waktu yang sama, kejayaan PAS memerintah Terengganu dan kegagalan mempertahankannya merupakan pengalaman berharga yang wajib dijadikan iktibar bagi IM. Kini, kemampuan dan juga keunikan PAS di dalam mentadbir negeri Kedah dan memajukannya berbanding tahun-tahun malap Kedah di bawah pemerintahan BN juga merupakan kajian kes yang perlu dipelajari oleh IM di Mesir.

Selain dari kekuatan serta pengalaman PAS yang telah disebutkan, PAS juga berpengalaman di dalam merangka manifesto dan belanjawan negara bersama yang lebih realistik untuk sebuah negara dalam kerangka politik jamak budaya, jamak agama seperti Manifesto BA, belanjawan alternatif dan mutakhir ini, Buku Jingga. Kemampuan PAS ini jika dinilai secara objektif, adalah jauh lebih komprehensif daripada manifesto politik IM tahun 2007 yang pernah menimbulkan kontroversi.

PAS juga dewasa ini telah menunjukkan sikap yang luar biasa di dalam pengupayaan wanita serta isu kepimpinan wanita. Selain daripada itu, PAS juga mempunyai ahli professional yang berpengalaman di luar dan dalam negara di kalangan para pimpinan professional, serta mempunyai jaringan hubungan dengan pihak non-Islamis yang berminat dengan pendekatan sederhana beberapa tokoh PAS. Sesetengah calon PAS juga telah membuktikan kredebiliti dan kemampuan mereka untuk meraih keyakinan non-Muslim di dalam PRU ke-12 (2008) yang lalu dengan memenangi kerusi di kawasan ramai non-Muslim seperti Dato Seri Nizar, YB Dr Mariah, YB Dr Dzulkifli, YB Dr Halimah dan lain-lain lagi. Keberadaan golongan ‘mualaf’ (saudara kita) sebagai wakil PAS seperti YB Khalil Idham Lim dan Anuar Tan juga merupakan satu pendekatan yang boleh dipelajari oleh ramai pihak.

IM perlu mempelajari ini semua dan disesuaikan dengan situasi baru di Mesir kini. IM perlu menerima hakikat, mereka tidak dapat tidak, akan bekerjasama dengan golongan minoriti Kristian Koptik yang membentuk sebahagian dari opulasi rakyat Mesir. Jika sebelum thawrah, rejim Mubarak sentiasa mewujudkan perasaan curiga dan juga permusuhan di antara IM dan juga golongan gereja Koptik, realiti yang baru menuntut satu kerangka yang baru di dalam hubungan tersebut, terutamanya di dalam ruang sosio-politik ekonomi. Pengalaman PAS di dalam ruang ini amat-amat berharga untuk dipelajari dan dikaji oleh IM. Konsep ‘PAS For All’ yang telah Berjaya melenyapkan prejudis sesetengah non-Muslim terhadap perjuangan PAS perlu dicontohi oleh IM.

Tidak pastilah samada perkara-perkara yang telah disebutkan ini disedari oleh PAS, namun mereka perlu bersikap pro-aktif di dalam hal tersebut. PAS perlu melihat semula diri mereka dengan sudut pandangan yang berbeza. PAS juga perlu membuang sindrom rendah diri di hadapan Syeikh-Syeikh Arab, terutamanya IM, semata-mata kerana mereka Arab atau semata-mata kerana mereka adalah ‘Ikhwan’. PAS perlu keluar kepompong rendah diri ini, dan mula berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah untuk saling belajar dan bertukar-tukar pengalaman. Tidak keterlaluan juga jika dicadangkan bahawa sudah tiba masanya untuk PAS menjadi fasilitator kepada IM, malah juga kepada gerakan-gerakan Islam di dunia Arab yang bakal mengisikan ruang pasca-thawrah di Negara masing-masing.

Demi menjayakan proposal di atas, PAS perlu mempromosikan diri mereka dengan memperbanyakkan literasi dan lontaran ide mereka di dalam media global berbahasa Arab, seperti laman web al-Jazeera, al-Quds al-Arabi, akhbar al-Ahram, majalah al-Mujtama’, dan lain-lain media baru. Di samping itu, PAS juga perlu bersikap pro-aktif di dalam membuktikan kewujudan mereka dengan mengetengahkan berita, fikrah dan juga pandangan kritis mereka kepada dunia Arab dengan menerokai ruang forum bagi para pimpinan parti di stesyen-stesyen televisyen antarabangsa berbahasa Arab yang popular seperti al-Jazeera, al-Hiwar, al-Arabiyah, Iqra TV dan al-Risalah. Banyak pengalaman PAS yang berharga perlu diketahui dan dipelajari oleh gerakan Islam yang lain di bumi Arab.

Untuk tujuan tersebut, para pemimpin PAS perlulah mempunyai kemampuan untuk berbahasa Arab yang ‘standard’ dan mampu untuk mengetengahkan ide-ide PAS untuk audien antarabangsa dan lebih global. Di dalam hal ini, para pimpinan PAS, terutamanya para ulama harus melepasi zon ‘jaguh kampung’ untuk muncul sebagai ‘tokoh antarabangsa’ dan ‘para ideolog’ wacana gerakan Islam. Mungkin sudah tiba masa bagi para pimpinan ulama PAS kini untuk meneroka ruang yang serba mencabar ini dan meninggalkan zon selesa berceramah dan hanya menulis untuk ahli semata-mata. Para pimpinan ulama PAS perlu berani untuk meneroka pasaran global dan pengkajian luaran demi menempatkan diri mereka dan juga PAS di persada antarabangsa. Kualiti para pimpinan ‘ulama’ PAS seperti ini penting, agar mereka benar-benar bukan sahaja dilihat berkaliber, tetapi juga substantif dan berkualiti.

Demi menyikapi cabaran baru yang telah disebutkan itu, PAS perlu mempunyai sebuah pusat kajian yang khusus atau think tank untuk memasarkan PAS di rantau Arab dan juga dunia. Tugas ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Arab yang mantap, pengetahuan mengenai politik timur tengah, budaya Arab dan juga jaringan yang kukuh dengan pihak media, akademik, serta aktor politik di timur tengah. Pusat kajian ini juga perlu terlibat aktif di dalam menterjemahkan literasi-literasi PAS dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan Arab untuk edaran antarabangsa. Sudah tentunya bukan sekadar IM yang berhak belajar dari PAS, malah gerakan-gerakan Islam lain juga. Sudah sampai juga masanya pengalaman-pengalaman PAS berkoalisi, mentadbir dan berpencak di dalam suasana politik Malaysia dihidangkan kepada warga dunia. Hanya dengan cara ini sahaja PAS boleh menyumbang kepada IM, gerakan Islam lain dan juga perjuangan Islam di dalam perubahan lanskap politik di rantau Arab. PAS perlu berjiwa lebih besar untuk bersama membawa perubahan bukan sahaja di tanah air, tetapi juga di peringkat antarabangsa…


* Penulis adalah pensyarah di UIAM, merupakan mantan tenaga pengajar di Durham University (2009), UK dan juga mantan penceramah subjek ‘Political Islam in ASEAN’ di SOAS, London (2009-2010). 

Sabtu, 23 April 2011

MENGHADAPAI UJIAN KEKALAHAN LEBIH MUDAH DARI KEMENANGAN


Oleh : Muhammad Alfatih 
(untuk KABAR)

Pilihanraya Umum negeri Sarawak kali ke-10 melabuh tirainya, ada yang menang dan semestinya ada yang kalah. Semuanya itu adalah ketetapan dari Allah untuk menguji setiap insan samaada yang memilih dan dipilih.

Allah SWT berfirman Di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Israa ayat 67 “Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilang semua yang(biasa) kamu seru, kecuali Dia(Allah). Tetapi apabila Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dari Allah) dan manusia memang selalunya kufur” 

Apabila ombak menggunung tinggi melebihi ketinggian dua batang pokok kelapa di hadapan kita, pastinya kita tidak akan terfikir sesiapa lagi melainkan Allah. Saat itu, kita kembali kepada fitrah, bertindak kerdil di hadapan Allah SWT. Kerana sebenarnya kita sedar bahawa, tiadalah yang boleh menyelamatkan kita selain Allah. Tetapi, bila kita selamat, bila kita berada dalam keadaan tenang dan tenteram, kita lupa akan Allah SWT.

Cuba kita lihat kepada Firaun, Raja Namrud, atau Qarun. Apakah ujian yang telah Allah turunkan kepada mereka? Bukankah kesenangan, kekuasaan dan harta yang melimpah ruah? Tetapi mereka akhirnya menjadi salah satu dari bahan-bahan bakar api neraka. Mereka tertipu dengan kesenangan, kekuasaan dan harta yang mereka miliki.

Kesenangan dan kekuasaan ibarat virus senyap yang akan mengendurkan semangat survival manusia dalam ketaatan mereka kepada Allah. Kesenangan dan kemenangan adalah ibarat tilam selesa dan bantal yang empuk, membuatkan kita terus memanjangkan lena tanpa menyedari kehidupan itu perlu terus untuk kita jalani. Akhirnya, tanpa sedar, kesenangandan kekuasan tadi akan membawa kita jauh dari Allah.

Di sini, bukanlah saya hendak katakan bahawa kemenangan itu satu keburukan dan kerosakan. Bukanlah penulis hendak mengajak pembaca untuk menolak dan tidak mengundi atau mengundi di pihak yang tidak benar dalam pilihanraya . Tetapi, penulis sekadar berpesan kepada diri sendiri dan pembaca, supaya kita sentiasa beringat-ingat dalam kemenangan dan kesenangan dalam memilki tampuk pemerintahan yang sementara sama ada berjawatan Adun atau menteri sekalipun. Janganlah kemenangan ini menipu diri kita, lantas membuatkan kita jauh dari Allah SWT dan leka atas tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.

Di dalam cerita Sang Murabbi, Ustaz Rahmat ada bercerita:
“Jangan ante jadi monyet!, sewaktu diatas pokok ada 3 jenis angin datang. Angin topan, angin bahurok, angin puting beliung. Tidak jatuh malah makin kencang pegangannya. Tapi bila angin sepoi bahasa datang, mengurut ubun-ubun, merehatkan tidak semena-mena pegangannya longgar dan akhirnya jatuh”

Kemenangan dan kekuasaan memang mudah membuat kita lupa. Hari ini, memang kesenangan dunia itulah yang disebar-sebarkan agar manusia berkejar-kejaran. Semata-mata hendak merebut tanah sejengkal, sanggup berbunuhan, semata-mata inginkan kuasa, sanggup melakukan pengingkaran kepada perintah dan larangan Allah. Kesenangan dan kekuasaan itu dikejar dengan berlebih-lebihan sehingga menjauhkan diri daripada tuntutan yang Islam tekankan dan bila dikecapi, tambah menjauhkan diri daripadaNya.

Jangan kita lepaskan pegangan kita kepada Allah kerana kemenangan dan kekuasaan yang diberikan hanya sementara. Contohilah mereka yang diuji dengan kekuasaan tetapi mereka berjaya, seperti Khalifah Arrashidin, Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fatih dan lain-lain pemimpin dalam lipatan sejarah yang telah membuktikan kepada kita keteguhan iman mereka. Jika mereka berjaya menembus syurga dalam keadaan kekuasaan dan tahta, apatah lagi kita. Bergeraklah, dan berusaha mencari Keredhaan Allah dalam apa jua keadaan sama ada menang atau kalah.

Kepada yang kalah terutama di pihak yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat, teruskan usaha anda untuk mendaulatkan agama Allah dimuka bumi ini dan perjuangkan keadilan walaupun anda tidak mempunyai jawatan sebagai wakil rakyat sekalipun.

Rabu, 20 April 2011

Memahami kejahilan politik BN - merdekareview.com

PR kecundang, BN melemah
Kita tidak boleh menuduh rakyat Sarawak telah silap membuat pilihan.  Atas kefahaman dan penilaian tertentu, mereka telahpun menggunakan ruang demokrasi yang disediakan sebaik mungkin.  Yang pasti, Pakatan Rakyat nyata kecundang apabila gagal menggantikan BN malah menafikan majoriti 2/3 pun masih jauh.
Sama sekali PRN Sarawak kali ini sedikit sebanyak memberi tamparan kepada PR yang begitu yakin untuk menafikan majoriti 2/3 BN sekaligus membuktikan bahawa congakan awal oleh Zentrum meleset.  Walau bagaimanapun, keputusan pilihanraya menunjukkan peningkatan undi kepada PR adapun BN masih selesa dengan kemenangan 55 kerusi dari 71 kerusi bertanding.
Secara umum, rakyat Sarawak masih selesa dengan BN dengan mandat baru yang telah diberikan.
Pada masa yang sama menjelaskan bahawa strategi kempen BN nampaknya gagal mempertahankan majoriti sedia ada walaupun jentera BN bertungkus lumus berkempen.  Isu video seks nyata tidak memberi kesan kepada minda rakyat Sarawak malah populariti Najib dan Muhyiddin juga tidak mampu membendung kecenderungan pengundi untuk mengundi Pakatan Rakyat.  Kemenangan beberapa kerusi tambahan untuk Pakatan Rakyat juga melucutkan gelaran Sarawak sebagai fix deposit buat BN.

Kemenangan DAP menggusarkan?
Hampir 80% dari 15 kerusi yang di menangi Pakatan Rakyat didominasi oleh DAP.  Ternyata, DAP berjaya mengubah sentimen rakyat yang selama ini menyokong SUPP yang mewakili sebahagian besar masyarakat Cina Sarawak.  Kesimpulan pertama yang boleh dibuat dari kemenangan besar DAP ini ialah, masyarakat Cina komited dalam meneruskan agenda perubahan dengan memberikan sokongan padu mereka kepada calon-calon Pakatan Rakyat manakala PAS dan PKR pula telah mula diterima di Sarawak dengan peningkatan undi di kawasan-kawasan tertentu.  Atas kejayaan besar ini DAP telah dimangsakan oleh media.
Apa lagi yang oleh diperkatakan dengan kemenangan besar DAP ini baik di Semenanjung mahupun di Sarawak?  Sudah tentu kemenangan DAP ini menimbulkan rasa kurang senang dari BN yang telah hilang sokongan dan kepercayaan dari masyarakat Cina seolah-olah masyarakat Cina memberi signal kepada kerajaan bahawa "kami tidak perlu lagi diwakili di peringkat federal", "kami boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa".
Perubahan berani yang dilakukan oleh masyarakat Cina Sarawak telah disalah erti sebagai sebuah "kebangkitan Cina".  Malah kemenangan DAP ini digambarkan sebagai menularnya "politik perkauman".  Persoalannya, apakah jika masyarakat Cina memberi kemenangan kepada SUPP dianggap kemenangan untuk Melayu?  Walhal calon-calon yang bertanding mewakili SUPP juga di kalangan masyarakat Cina. Apakah yang sebenarnya cuba digarapkan oleh media perdana negara ini dengan dakwaan yang begitu dangkal dan menjatuhkan imej profesional mereka.  Sekiranya kita benarkan dakwaan ini, apa pula yang boleh dijelaskan dengan kemenangan PAS di Kedah dan bertahannya kerajaan PAS di kelantan selama lebih 20 tahun?

Kemenangan PAS dicemburui
Situasi politik dan budaya di Malaysia masih lagi berlegar disekitar faham perkauman sempit malah BN sangat selesa dengan "tradisi" ini.  Isu kaum sering kedengaran di negara ini untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar.  Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Syed Husin Ali dalam bukunya Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan menyatakan bahawa "persaingan kelompok atasan diberi wajah kaum".
Masyarakat Bumiputera dan Melayu harus disedarkan dari salah faham ini.  Ayuh kita lihat sebagai contoh; Jika PAS yang memenangi sesebuah kawasan atau negeri, orang Melayu akan dituduh sebagai golongan yang tidak mahu bersyukur dengan jasa kerajaan, jika PKR yang menang, rakyat akan dituduh pula sebagai menyokong pengkhianat bangsa dan jika kemenangan itu di pihak DAP (sudah tentu kawasan Cina), kemenangan itu ditafsir sebagai "kebangkitan Cina" Dan menunjukkan seolah-olah masyarakat Cina tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan atas dominasi ekonomi yang diperoleh.  Apakah kita rakyat Malaysia juga perlu termakan dengan isu-isu sebegini?

Bukan kaum, tapi diskriminasi politik
Saya ingin bertanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; apakah rakyat tidak punya hak untuk memilih sehingga jika ia tidak berpihak kepada pemerintah mereka akan dituduh sedemikian rupa?  Haruskah rakyat di negara ini terus diperbodohkan dengan pandangan-pandangan berbaur perkauman yang tidak sihat dan ia dibiarkan berleluasa?
Kita masih lagi dalam bahang suasana PRN Sarawak.  Kemenangan besar DAP sebenarnya menjelaskan bahawa masyarakat Cina mahu untuk berubah dan berani melakukan perubahan.  Apa yang berlaku kepada masyarakat Bumiputera pula, mereka punya azam untuk berubah tetapi masih terperangkap dengan hegemoni Melayu-Melanau dan dibatasi dengan sikap sinikal dan takut apatah lagi masih dimainkan dengan politik projek "jalan raya" yang nampaknya masih belum selesai.
Soalnya sekarang bukanlah "kebangkitan Cina".  Orang Cina telahpun bangkit dari kemiskinan mereka sejak selepas merdeka lagi.  Keputusan PRN Sarawak sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat Cina cuba bersikap lebih realistik dan berani melakukan perubahan.  Selain itu, ia juga membuktikan kepada kita bahawa masyarakat Cina lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan politik tanah air.  Saya bukanlah memuji tetapi inilah yang harus kita semua fikirkan bersama.  Ya, agar kita seluruh rakyat Malaysia lebih realistik dan berani menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan salah urus tadbir pemimpin-pemimpin negara.
Memang, Bumiputera-apalagi orang Melayu diutamakan dalam arus pembangunan nasional agar dapat bersaing dengan masyarakat yang lain.  Akan tetapi, dilema yang dihadapi bukan diskriminasi dari sisi kaum tetapi apa yang berlaku adalah diskriminasi politik.  Lihat sahaja apa yang pernah berlaku di Terengganu berkaitan royalti minyak yang ditukar kepada Wang Ihsan apabila PAS berjaya membentuk kerajaan di sana. Begitu juga diskriminasi berbelas-belas tahun kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam hal peruntukan kewangan dalam projek bekalan air bersih yang sehingga kini menjadi tanda soal.
Nampaknya isu perkauman ini sengaja terus dibangkit dalam mempertahan monopoli politik BN agar dilihat perjuangan mereka relevan sehingga sekarang.  Apakah kemiskinan sebahagian masyarakat bumiputera di bandar dan di kawasan pedalaman di hadapan mata kita membuktikan BN benar-benar memperjuangkan nasib golongan ini? Dan apakah kita masih tidak malu kerana masih dicengkam dengan hegemoni kaum ini?  Sejarah telahpun membuktikan kebenaran dan telah sampai masanya untuk kita merevolusikan minda!
*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Ahad, 17 April 2011

Terimakasih atas dokongan dan sokongan - harakahdaily

Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang   
Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera pilihanraya PAS dari perlbagai peringkat serta orang perseorangan yang bertungkus-lumus dan menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan negeri Sarawak yang baru sahaja berakhir.

Tahniah juga kepada semua calon PAS yang mampu berhadapan dengan segala bentuk cabaran dan rintangan tanpa penat dan lelah sepanjang tempoh  berkempen itu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Izan Yaakob, yang juga merupakan petugas PAS dari Kelantan yang telah kembali ke rahmatullah di bilik gerakan DUN Beting Maro pada hari pengundian dijalankan. Semoga Allah merahmati roh beliau dan ditempatkan di kalangan para solihin.

Kepada semua calon PAS, teruskanlah urusan anda bersama dengan masyarakat di sekeliling anda dengan membawa mesej yang jelas tanpa mengira waktu dan ketika. Sesungguhnya Allah jualah yang mampu membalas segala kerja buat kita dalam membawa suara Islam yang menjadi asas perjuangan PAS sejak sekalian lama itu.

Sesungguhnya keputusan  pilihanraya itu adalah merupakan satu muhasabah terhadap langkah dan strategi dalam kita memugar gerombolan lawan kita dalam pilihan raya itu.

Tentunya masih banyak yang perlu ditambah baik oleh kita semua supaya pendekatan kita akan menjadi lebih efektif, dan mampu untuk merobohkan tembok besar yang masih berlegar dalam ruang pemikiran pengundi yang ada di depan kita. Apapun, sekali-kali setiap anggota jentera parti tidak seharusnya merasa lemah dan kecewa dengan keputusan pilihan raya yang sama-sama kita ketahui itu.

PAS juga ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang memilih PAS dalam pilihan raya ini. Kami semua tidak akan mengecewakan tuan-puan sekalian, insyaAllah kami akan terus berkhidmat kepada semua menerusi calon dan jawatankuasa PAS di peringkat masing-masing.

Saya juga telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Sarawak untuk berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat bagi menentukan masa, kaedah dan tempat yang sesuai untuk meraikan calon dan seluruh petugas pilihanraya PAS di Sarawak menerusi satu majlis khusus yang akan diadakan nanti.

Khamis, 14 April 2011

10 artis terkenal mahu ikut Bob Lokman - harakahdaily

10 artis terkenal mahu ikut Bob Lokman
Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 14 April: Kira-kira 10 lagi artis terkenal kini turut tertarik dan ingin mengikuti jejak langkah pelakon dan penulis lirik Bob Lokman menjalani hidup yang lebih baik dan menyokong perjuangan Islam dan politik yang dibawa PAS.

Artis-artis tersebut termasuk lelaki dan wanita dan termasuk yang terkenal dalam genre nyanyian, lawak, lahir dari Akademi Fantasia dan dari kategori pengarah.

Pelakon Bob Lokman ketika mendedahkan perkara itu menegaskan, mereka sekarang sememangnya sudah bersedia untuk mengikuti jejak langkahnya dan sedang berusaha memperdalami ajaran Islam menerusi kelas pengajian Islam yang diusahakan bersama rakan-rakannnya.

Menurut beliau, selain mengikuti kelas-kelas agama, artis-artis itu juga kini sudah seringkali mengikuti pengajian agama daripada tokoh-tokoh agama tanah air di beberapa buah masjid.

Katanya, selain mahu turut berubah kepada kehidupan lebih Islamik, artis-artis itu juga mahu turut berminat untuk terlibat dengan perjuangan Islam yang dibawa PAS.

"Bagaimanapun, mereka masih belum bersedia untuk mendedahkannya kepada masyarakat buat masa ini kerana mahu menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Mereka mahu mengikuti jejak langkah saya kerana tertarik dengan perjalanan hidup saya sekarang. Hasrat mereka itu telah dinyatakan sendiri oleh mereka kepada saya baru-baru ini secara jujur," katanya ketika menyampaikan tazkirah di pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Di samping mengakui tertarik dengan perjalanan hidup beliau sekarang, artis-artis itu juga turut berminat untuk mendapatkan kekuatan jiwa.

Sambil menyebut satu persatu nama-nama artis tersebut, beliau menegaskan, untuk membolehkan seseorang artis itu meninggalkan dunia glamour seperti yang dilakukan oleh beliau sekarang bukanlah sesuatu yang mudah.

"Selain memerlukan pengetahuan agama yang mendalam dari sudut fekah, seseorang itu juga amat perlu mengamalkan tarikat yang muktabar bagi mendapatkan kekuatan jiwa agar tidak mudah goyah apabila ditimpa pelbagai ujian," katanya.

Beliau juga secara jujur mengakui, rezekinya sekarang tidak pernah berkurangan sejak meninggalkan dunia glamour, malah makin bertambah apabila sering menerima pelbagai undangan dari pelbagai pihak untuk mengadakan ceramah.
(Gambar: Sebahagian kakitangan Harakah yang mendengar ucapan Bob Lokman)

Malah, dalam masa terdekat, walaupun telah meninggalkan dunia glamournya, beliau juga masih menerima tawaran berlakon dari beberapa buah syarikat dengan bayaran puluhan ribu ringgit.

Sebahagiannya terpaksa ditolak kerana ia tidak selari dengan perjalanan hidupnya sekarang yang bukan lagi menjalani hidup untuk keseronokan, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Allah dalam erti kata yang sebenarnya.

"Jangan takut untuk berubah menjalani kehidupan yang lebih baik, rezeki kita tak akan berkurangan, malah bertambah. Jangan juga kata bila kita dah memilih untuk menjadi lebih baik tak akan ada tawaran berlakon lagi. Sebaliknya tawaran itu datang mencurah-curah.

"Malah saya sendiri pula yang terpaksa menolaknya (kerana tidak sesuai)," jelas beliau sambil mengakui tidak mengalami sebarang tekanan dari sebarang pihak ekoran perubahan hidupnya sekarang.