PR kecundang, BN melemah
Kita tidak boleh menuduh rakyat Sarawak telah silap membuat pilihan. Atas kefahaman dan penilaian tertentu, mereka telahpun menggunakan ruang demokrasi yang disediakan sebaik mungkin. Yang pasti, Pakatan Rakyat nyata kecundang apabila gagal menggantikan BN malah menafikan majoriti 2/3 pun masih jauh.
Secara umum, rakyat Sarawak masih selesa dengan BN dengan mandat baru yang telah diberikan.
Pada masa yang sama menjelaskan bahawa strategi kempen BN nampaknya gagal mempertahankan majoriti sedia ada walaupun jentera BN bertungkus lumus berkempen. Isu video seks nyata tidak memberi kesan kepada minda rakyat Sarawak malah populariti Najib dan Muhyiddin juga tidak mampu membendung kecenderungan pengundi untuk mengundi Pakatan Rakyat. Kemenangan beberapa kerusi tambahan untuk Pakatan Rakyat juga melucutkan gelaran Sarawak sebagai fix deposit buat BN.
Kemenangan DAP menggusarkan?
Hampir 80% dari 15 kerusi yang di menangi Pakatan Rakyat didominasi oleh DAP. Ternyata, DAP berjaya mengubah sentimen rakyat yang selama ini menyokong SUPP yang mewakili sebahagian besar masyarakat Cina Sarawak. Kesimpulan pertama yang boleh dibuat dari kemenangan besar DAP ini ialah, masyarakat Cina komited dalam meneruskan agenda perubahan dengan memberikan sokongan padu mereka kepada calon-calon Pakatan Rakyat manakala PAS dan PKR pula telah mula diterima di Sarawak dengan peningkatan undi di kawasan-kawasan tertentu. Atas kejayaan besar ini DAP telah dimangsakan oleh media.
Perubahan berani yang dilakukan oleh masyarakat Cina Sarawak telah disalah erti sebagai sebuah "kebangkitan Cina". Malah kemenangan DAP ini digambarkan sebagai menularnya "politik perkauman". Persoalannya, apakah jika masyarakat Cina memberi kemenangan kepada SUPP dianggap kemenangan untuk Melayu? Walhal calon-calon yang bertanding mewakili SUPP juga di kalangan masyarakat Cina. Apakah yang sebenarnya cuba digarapkan oleh media perdana negara ini dengan dakwaan yang begitu dangkal dan menjatuhkan imej profesional mereka. Sekiranya kita benarkan dakwaan ini, apa pula yang boleh dijelaskan dengan kemenangan PAS di Kedah dan bertahannya kerajaan PAS di kelantan selama lebih 20 tahun?
Kemenangan PAS dicemburui
Situasi politik dan budaya di Malaysia masih lagi berlegar disekitar faham perkauman sempit malah BN sangat selesa dengan "tradisi" ini. Isu kaum sering kedengaran di negara ini untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar. Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Syed Husin Ali dalam bukunya Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan menyatakan bahawa "persaingan kelompok atasan diberi wajah kaum".
Bukan kaum, tapi diskriminasi politik
Saya ingin bertanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; apakah rakyat tidak punya hak untuk memilih sehingga jika ia tidak berpihak kepada pemerintah mereka akan dituduh sedemikian rupa? Haruskah rakyat di negara ini terus diperbodohkan dengan pandangan-pandangan berbaur perkauman yang tidak sihat dan ia dibiarkan berleluasa?
Soalnya sekarang bukanlah "kebangkitan Cina". Orang Cina telahpun bangkit dari kemiskinan mereka sejak selepas merdeka lagi. Keputusan PRN Sarawak sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat Cina cuba bersikap lebih realistik dan berani melakukan perubahan. Selain itu, ia juga membuktikan kepada kita bahawa masyarakat Cina lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan politik tanah air. Saya bukanlah memuji tetapi inilah yang harus kita semua fikirkan bersama. Ya, agar kita seluruh rakyat Malaysia lebih realistik dan berani menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan salah urus tadbir pemimpin-pemimpin negara.
Nampaknya isu perkauman ini sengaja terus dibangkit dalam mempertahan monopoli politik BN agar dilihat perjuangan mereka relevan sehingga sekarang. Apakah kemiskinan sebahagian masyarakat bumiputera di bandar dan di kawasan pedalaman di hadapan mata kita membuktikan BN benar-benar memperjuangkan nasib golongan ini? Dan apakah kita masih tidak malu kerana masih dicengkam dengan hegemoni kaum ini? Sejarah telahpun membuktikan kebenaran dan telah sampai masanya untuk kita merevolusikan minda!
*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan