Oleh : Muhammad Alfatih
(untuk KABAR)
Pilihanraya Umum negeri Sarawak kali ke-10 melabuh tirainya, ada yang menang dan semestinya ada yang kalah. Semuanya itu adalah ketetapan dari Allah untuk menguji setiap insan samaada yang memilih dan dipilih.
Allah SWT berfirman Di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Israa ayat 67 “Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilang semua yang(biasa) kamu seru, kecuali Dia(Allah). Tetapi apabila Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dari Allah) dan manusia memang selalunya kufur”
Apabila ombak menggunung tinggi melebihi ketinggian dua batang pokok kelapa di hadapan kita, pastinya kita tidak akan terfikir sesiapa lagi melainkan Allah. Saat itu, kita kembali kepada fitrah, bertindak kerdil di hadapan Allah SWT. Kerana sebenarnya kita sedar bahawa, tiadalah yang boleh menyelamatkan kita selain Allah. Tetapi, bila kita selamat, bila kita berada dalam keadaan tenang dan tenteram, kita lupa akan Allah SWT.
Cuba kita lihat kepada Firaun, Raja Namrud, atau Qarun. Apakah ujian yang telah Allah turunkan kepada mereka? Bukankah kesenangan, kekuasaan dan harta yang melimpah ruah? Tetapi mereka akhirnya menjadi salah satu dari bahan-bahan bakar api neraka. Mereka tertipu dengan kesenangan, kekuasaan dan harta yang mereka miliki.
Kesenangan dan kekuasaan ibarat virus senyap yang akan mengendurkan semangat survival manusia dalam ketaatan mereka kepada Allah. Kesenangan dan kemenangan adalah ibarat tilam selesa dan bantal yang empuk, membuatkan kita terus memanjangkan lena tanpa menyedari kehidupan itu perlu terus untuk kita jalani. Akhirnya, tanpa sedar, kesenangandan kekuasan tadi akan membawa kita jauh dari Allah.
Di sini, bukanlah saya hendak katakan bahawa kemenangan itu satu keburukan dan kerosakan. Bukanlah penulis hendak mengajak pembaca untuk menolak dan tidak mengundi atau mengundi di pihak yang tidak benar dalam pilihanraya . Tetapi, penulis sekadar berpesan kepada diri sendiri dan pembaca, supaya kita sentiasa beringat-ingat dalam kemenangan dan kesenangan dalam memilki tampuk pemerintahan yang sementara sama ada berjawatan Adun atau menteri sekalipun. Janganlah kemenangan ini menipu diri kita, lantas membuatkan kita jauh dari Allah SWT dan leka atas tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.
Di dalam cerita Sang Murabbi, Ustaz Rahmat ada bercerita:
“Jangan ante jadi monyet!, sewaktu diatas pokok ada 3 jenis angin datang. Angin topan, angin bahurok, angin puting beliung. Tidak jatuh malah makin kencang pegangannya. Tapi bila angin sepoi bahasa datang, mengurut ubun-ubun, merehatkan tidak semena-mena pegangannya longgar dan akhirnya jatuh”
Kemenangan dan kekuasaan memang mudah membuat kita lupa. Hari ini, memang kesenangan dunia itulah yang disebar-sebarkan agar manusia berkejar-kejaran. Semata-mata hendak merebut tanah sejengkal, sanggup berbunuhan, semata-mata inginkan kuasa, sanggup melakukan pengingkaran kepada perintah dan larangan Allah. Kesenangan dan kekuasaan itu dikejar dengan berlebih-lebihan sehingga menjauhkan diri daripada tuntutan yang Islam tekankan dan bila dikecapi, tambah menjauhkan diri daripadaNya.
Jangan kita lepaskan pegangan kita kepada Allah kerana kemenangan dan kekuasaan yang diberikan hanya sementara. Contohilah mereka yang diuji dengan kekuasaan tetapi mereka berjaya, seperti Khalifah Arrashidin, Umar Abdul Aziz, Sultan Muhammad Al-Fatih dan lain-lain pemimpin dalam lipatan sejarah yang telah membuktikan kepada kita keteguhan iman mereka. Jika mereka berjaya menembus syurga dalam keadaan kekuasaan dan tahta, apatah lagi kita. Bergeraklah, dan berusaha mencari Keredhaan Allah dalam apa jua keadaan sama ada menang atau kalah.
Kepada yang kalah terutama di pihak yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat, teruskan usaha anda untuk mendaulatkan agama Allah dimuka bumi ini dan perjuangkan keadilan walaupun anda tidak mempunyai jawatan sebagai wakil rakyat sekalipun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan